Selasa, 12 September 2017

MASALAH HAID WANITA KETIKA HAJI DAN UMRAH


PERMASALAHAN berkaitan haid adalah antara perkara yang paling banyak dikemukakan oleh jemaah haji wanita. Ini kerana ibadat haji atau umrah tidak dapat disempurnakan jika mereka berada dalam keadaan tidak suci.

Persoalan pertama ialah adakah jemaah haji yang mengalami haid dibolehkan untuk menangguhkan niat ihram sehingga telah suci? Dalam hal ini, perkara asas yang perlu difahami ialah niat ihram haji atau umrah sah jika dilakukan sebelum sampai, semasa atau melepasi miqat.

Bagaimanapun, dikira ‘berdosa’ jika sengaja menangguhkannya sehingga melepasi miqat dan dikenakan Dam Tertib dan Taqdir kerana tidak berniat di miqat. Selain daripada dam tidak niat di miqat, jemaah itu juga dikenakan Dam Tertib dan Taqdir sekiranya dia hendak melakukan Haji Tamattu` atau Qiran.

Ini bermakna dua Dam Tertib dan Taqdir dikenakan ke atasnya, bagaimanapun tidak berdosa jika terlupa untuk berniat di miqat tetapi tetap dikenakan dua Dam Tertib dan Taqdir seperti dinyatakan sebelum ini.

Jemaah yang mengalami haid boleh dibahagikan kepada enam situasi:

1 Haid datang sebelum berniat ihram. Jemaah boleh lakukan perkara sunat sebelum ihram seperti memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan lain-lain. Juga boleh mandi sunat ihram, berniat ihram sama ada sebelum atau selepas sampai di miqat serta talbiah, tahmid, tasbih dan zikir.

2 Haid datang selepas berniat ihram. Jemaah hanya tidak boleh lakukan tawaf rukun kerana disyaratkan berada dalam keadaan suci. Saie juga tidak boleh dilakukan selagi belum selesai tawaf kerana ia hanya sah dilakukan selepas selesai tawaf walaupun tidak disyaratkan suci dari hadas dan najis semasa saie. Manakala amalan lain seperti talbiah, wuquf, melontar dan bergunting boleh dilakukan.

3 Haid datang sebelum tawaf umrah. Bagi jemaah yang memilih Haji Tamattu’, jika haid berterusan sehingga saat hendak bertolak ke Arafah, beliau boleh terus berniat haji dan jadilah hajinya ‘Haji Qiran’ dan perlu membayar Dam Haji Qiran. Sekiranya telah membayar Dam Haji Tamattu`, maka ia secara langsung menjadi Dam Qiran.

4 Haid datang semasa mengerjakan tawaf umrah iaitu bagi jemaah yang melakukan Haji Tamattu’. Dalam situasi ini tawaf tersebut tidak sah. Beliau mesti menunggu sehingga suci, barulah dibuat tawaf semula dan seterusnya saie serta bergunting. Dengan itu sempurnalah umrah tersebut. Jika sekiranya tidak suci sehingga saat hendak berangkat ke Arafah, maka umrahnya dikira masih belum selesai.

Mengikut Mazhab Syafie, wanita tersebut tidak boleh mengerjakan haji pada tahun tersebut kerana dia tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya ke dalam umrah. Ini kerana dia telah memulakan tawaf.

Bagaimanapun, mengikut Mazhab Maliki, jemaah wanita tersebut masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah walaupun umrah masih belum selesai dengan syarat belum melakukan solat sunat tawaf. Dengan itu jadilah hajinya ‘Haji Qiran’ dan bukan lagi ‘Haji Tamattu’ sebagaimana asalnya.

Dalam situasi ini sahaja, jemaah dinasihatkan bertaqlid dengan Mazhab Maliki.

5 Haid datang sebelum tawaf rukun haji. Bagi jemaah yang alami haid sedangkan tarikh penerbangan pulang ke tanah air atau ke Madinah sudah hampir dan tidak mungkin ia suci sebelumnya, maka ada tiga pilihan iaitu:
Memohon penangguhan tarikh pulang atau tarikh bertolak ke Madinah daripada Tabung Haji.
Jika terpaksa pulang kerana tugas atau tiada penerbangan lain, maka jemaah tersebut hendaklah melakukan Dam Ihsar bagi membebaskannya daripada larangan ihram
Jemaah boleh bertaqlid dengan Mazhab Hanafi yang mengharuskan tawaf semasa dalam haid. Tetapi jemaah tersebut hendaklah membayar dam seekor unta dan memohon keampunan daripada Allah kerana memasuki masjid dalam keadaan berhadas besar.

6 Haid datang selepas wuquf dan tawaf rukun haji sebelum Tawaf Wada’.Dalam situasi ini, jemaah haji tidak perlu melakukan Tawaf Wada’. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Ia adalah ibadat yang berasingan daripada ibadat haji dan hajinya adalah sempurna.

FATRAH AL-NAQA’

Fatrah al-Naqa’ merujuk kepada suatu kadar masa berhentinya darah (tiada darah di dalam dan luar faraj) dalam tempoh haid dan tidak kurang daripada 24 jam. Kiraannya bermula dari mula kering darah haid dan bukannya dari mula mandi wajib.

Katakan jemaah haji kering darah haidnya bermula pukul 8 pagi sehinggalah selepas pukul 8 pagi keesokannya, maka dia telah mencapai tempoh suci 24 jam. Berdasarkan pandangan kedua (marjuh) dalam Mazhab Shafie, apa-apa ibadat termasuk tawaf yang dilakukan dalam tempoh berhenti haid selama 24 jam atau lebih adalah sah kerana ia sudah dikira suci, walaupun masih dalam tempoh haid dan ini diistilahkan sebagai talfiq.

Namun jemaah haji perlu ingat bahawa pandangan kedua ini hanya boleh diterima pakai dalam situasi kesuntukan masa untuk menyelesaikan tawaf rukun sahaja seperti jemaah yang tidak dapat menangguhkan penerbangan pulang ke tanah air atau ke Madinah.

Yang terakhir ialah tentang niat bersyarat. Maksudnya suatu niat yang dikaitkan dengan sesuatu, iaitu jika berlakunya perkara yang dikaitkan itu, maka jemaah haji akan bebas daripada larangan ihram. Hukum niat haji dan umrah adalah harus.

Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah r.a.: Diba’ah binti al-Zubair masuk menemui Rasulullah SAW dan berkata: Ya Rasulullah, saya ingin melaksanakan haji akan tetapi saya sakit. Maka Rasulullah bersabda laksanakanlah haji dan letaklah syarat tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang,” - Riwayat Muslim

Sumber Dari:-
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/masalah-haid-di-tanah-suci-1.335225



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RAKAN NIAGA TELEKUNGMUSLEEMA